Gadis ini reka dan jahit sendiri gaun perkahwinan bertemakan Puteri Disney dalam masa 3 bulan sahaja! Cantiknya

Hari perkahwinan merupakan hari yang paling ditunggu-tunggu oleh bakal pasangan mempelai. Pada hari yang penuh gilang-gemilang ini jugalah, anda akan dilayan bak raja sehari dan berharapkan agar semua tetamu undangan dapat bergembira di hari bahagia anda.

Masa selama berbulan-bulan diambil untuk mempersiapkan segala-galanya seperti tema dekorasi, pelamin idaman, tempahan makanan, solekan serta yang paling penting, busana pengantin.

Bagi kebanyakan pasangan, biasanya bab pemilihan busana pengantin akan diserahkan kepada pihak perempuan untuk menentukan gaya, warna dan kesesuaiannya dengan tema majlis.

Jadi, apabila diberi peluang sedemikian rupa, gadis bernama Ainaa Juliadi ini tidak mahu mensia-siakan bakat menjahitnya sekali gus merealisasikan impian untuk kelihatan persis seorang puteri kayangan di majlis perkahwinannya…


Ainaa yang baru berusia 21 tahun telah lama berangan-angan untuk memakai busana bak puteri Disney sejak dia masih kecil lagi. Oleh demikian, di kesempatan itu, dia memutuskan untuk menunjukkan hasil busana rekaannya sendiri pada majlis persandingan yang diadakan pada 2 Februari lalu.


Dengan bakat dan ketekunan yang dimiliki, Ainaa telah menghasilkan sendiri gaun pengantin persis watak karikatur daripada kisah Sleeping Beauty. Menurut Ainaa yang sememangnya menggemari warna merah jambu, baju yang dipakai oleh watak Puteri Aurora itu sentiasa menjadi inspirasinya untuk menghasilkan busana pengantin sendiri.

Facebook Ani Suraini

“Saya nak siapkan dress ini lama juga. Gunting sahaja dua minggu, jahit pun dua minggu. Mungkin tiga bulan jugalah sebab dalam masa yang sama kena jahit baju pelanggan sekali”.

Facebook Ani Suraini

Ainaa yang juga merupakan seorang perunding perkahwinan memberitahu bahawa dia mula belajar menjahit sewaktu berumur 18 tahun atas paksaan ibunya sendiri!

“Saya belajar menjahit masa 18 tahun sebab kena paksa dengan mak. Tapi dah start jahit manik masa umur 16 tahun.”

Facebook Ani Suraini

Di samping itu, Ainaa juga mempunyai hubungan yang akrab bersama ibu dan mereka telah mengusahakan perniagaan dikenali sebagai Dnalia Enterprise bersama-sama. Sebagai anak sulung kepada empat beradik, ibunya turut mengenakan syarat tertentu sebelum membenarkan Ainaa melangsungkan perkahwinan.

Twitter @Manokine98

“Mak saya letak syarat, siapa nak keluar dengan anak dia, dia kena teman. Jadi, kami memang tak pernah dating berdua sebelum ini. Pergi kursus kahwin sahaja berdua. Sebab itu rasa baik kahwin sahaja, lagi senang.”

Instagram @dnaliawedding

Jelas Ainaa, dia telah lama mengenali pasangannya itu sejak di bangku sekolah lagi. Pada ketika itu, mereka berumur 15 tahun dan hanya kekal sebagai kawan baik. Setelah tamat persekolahan, barulah kedua-duanya mengaku ada menyimpan perasaan suka antara satu sama lain.

Instagram @dnaliawedding

Berbalik kepada rekaan busana khas yang serba cantik ini, Ainaa turut menghasilkan rekaan bak Puteri Elsa dari kartun Frozen yang sungguh menawan. Busana ini digayakan khusus untuk sesi penggambaran luaran.

Instagram @dnaliawedding

Ketika ini, Ainaa sedang menjalani kursus bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan bercadang untuk membuka kelas jahitan kepada orang ramai yang berminat untuk belajar menjahit.

Sememangnya seorang wanita yang memberi inspirasi meskipun baru berusia 21 tahun! Tahniah Ainaa dan suami. Semoga anda berdua bahagia sehingga ke Jannah! Amin…

 

Apa Kata Anda! Dah Baca Jangan Lupa Komen & Share. Terima Kasih

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook KL MENJERIT

Sumber: SAYS

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*